Kepentingan Etika

Tujuan utama latihan muzik secara induvidu ialah meningkatkan kemahiran bermain alat muzik. Ia boleh dibuat melalui pembacaan notasi atau skor muzik. Latihan dalam kumpulan muzik pula biasanya dijalankan untuk mendapatkan kesefahaman dari aspek tempo dan keseimbangan bunyi diantara setiap ahli dalam kumpulan tersebut. Etika bermaksud amalan-amalan yang baik sebelum, semasa atau selepas latihan muzik. Etika atau amalan yang baik penting diikuti supaya setiap latihan mencapai objektif secara maksimum.
Sebelum Latihan
Setiap ahli kumpulan muzik hendaklah bersedia lebih awal:
a) Bersedia awal beberapa minit sebelum masa yang ditetapkan.
b) Bersedia dengan skor muzik.
c) Membawa bersama alat tulis seperti pensil dan pemadan untuk membuat catatan jika perlu.
d) Pasang dengan betul alat muzik.
e) Buat penyelarasan talaan (tuning) bersama rakan.
f) Penuhkan masa menunggu dengan perkara berfaedah yang sesuai seperti membaca dan sebagainya (yang tidak mengganggu orang lain).
g) Berlatih sendiri bahagian-bahagian yang anda belum mahir dengan perlahan.
Semasa Latihan
Masa latihan adalah masa yang memerlukan tumpuan sepenuhnya setiap ahli kumpulan. Oleh itu setiap ahli perlu:
a) Sentiasa mengikut arahan ketua atau konduktor – terutamanya memula dan menamatkan permainan muzik.
b) Elakkan mencuba memainkan sendiri berulangkali bahagian yang anda kurang mahir sehingga mengganggu latihan. Tiada latihanindividu dalam masa latihan berkumpulan.
c) Jika ada bahagian yang tidak faham, bertanyalah pada masa yang sesuai kepada ketua atau konduktor.
d) Sentiasa perbaiki perkara-perkara yang ditegur oleh ketua, misalnya keseimbangan bunyi, teknik dan sebagainya.
e) Membuat catatan bagi perkara-perkara yang perlu, misalnya tarikh dan waktu latihan akan datang.Begitu juga dengan sebarang pindaan penting pada skor muzik.
Selepas Latihan
Perkara yang perlu dilakukan selepas latihan ialah:
a) Memastikan semua alatan muzik, music stand dan lain-lain disimpan dengan baik ditempat sepatutnya.
b) Bersihkan alat muzik mengikut cara yang telah ditetapkan. Membiarkan alat muzik yang kotor selepas digunakan boleh menyebabkankerosakan kepada alat muzik berkenaan.
c) Menghormati ketua dan rakan-rakan adalah satu amalan yang baik. Berilah ucapan yang sesuai.

Sumber: Mastor Hj. Jarkaseh, Asas Pendidikan Muzik 1, KBSM,