Utama

Tugasan 1-Ulasan Jurnal

 

( Klik tajuk dibawah untuk pautan ke slideshare)

ULASAN  JURNAL E-PEMBELAJARAN

TAJUK: Students’ Perceptions of E-learning in Arab Society: Kuwait University  as a  case study.

PENGKAJI: Salah Al Fadhli ( College of Business Administration, Kuwait University, Kuwait)

Pendahuluan .

Kajian ini dijalankan untuk mengkaji faktor-faktor yang mungkin mempengaruhi persepsi pelajar di pusat pengajian tinggi khususnya di Universiti Kuwait terhadap  kaedah e-pembelajaran dalam budaya masyarakat orang Arab. Pelajar-pelajar dari Universiti Kuwait ini digunakan sebagai responden bagi mewakili masyarakat Arab.

 Persoalan kajian.

Kajian ini dijalankan bagi menjawab dua  persoalan kajian yang telah dikenalpasti iaitu:

1)      Apakah faktor-faktor yang menentukan penerimaan pelajar terhadap e-pembelajaran?

2)      Bagaimanakah aspek-aspek di dalam latar belakang budaya masyarakat Arab mempengaruhi persepsi pelajar terhadap e-pembelajaran?

Kaedah.

Kajian ini adalah berbentuk kajian kes di mana pengkaji telah menggunakan kaedah eksperimen terhadap responden yang terdiri daripada empat kumpulan pelajar yang mengikuti Program Ijazah  Pengurusan Sistem Maklumat di Kolej Sains Pentadbiran di Universiti Kuwait.  Kajian ini telah dijalankan  selama 14 minggu iaitu satu semester.

Dua kumpulan pelajar daripada empat kumpulan responden yang terdiri daripada 19 pelajar lelaki dan 17 orang pelajar perempuan dijadikan  kumpulan  kawalan di mana responden –responden ini menjalani pembelajaran secara kaedah tradisional  iaitu berpusatkan pengajar (pensyarah). Manakala dua kumpulan lagi  yang terdiri daripada 18 orang pelajar lelaki dan 23 orang pelajar perempuan berada di dalam kelas eksperimen. Kumpulan ini menggunakan kaedah e-pembelajaran. Semua responden adalah berbangsa Arab Kuwait kecuali seorang pelajar perempuan dalam kumpulan kawalan berbangsa Arab Mesir.

Soal selidik yang dijalankan mengandungi 3 bahagian. Bahagian pertama mengandungi soalan-soalan tentang maklumat diri seperti umur, jantina, pengkhususan dan sebaginya.  Bahagian kedua pula menguji tahap kebiasaan pelajar menggunakan  teknologi  komputer. Manakala bahagian ke tiga pula mengandungi soalan-soalan meneroka persepsi pelajar setelah mengikuti kursus e-pembelajaran. Soal selidik ini mengandungi 45 soalan dan  mengambil masa selama 50 minit untuk diselesaikan.

Dapatan  kajian.

Hasil daripada soal selidik yang dibuat didapati keseluruhan calon mempunyai tanggapan yang positif terhadap kolaborasi di dalam persekitaran e-pembelajaran. Ini dapat dilihat daripada faktor-faktor yang selidik oleh pengkaji.

i) Peranan pengajar.

Hasil daripada soal selidik tentang  peranan pengajar mendapati dapati pelajar memperolehi pengalaman yang positif melalui pendekatan pedagogi yang digunakan oleh pengajar. Soal selidik tersebut juga mendapati bimbingan daripada pengajar yang bertindak sebagai motivator dan fasilitator memberi kepuasan yang tinggi kepada pelajar dalam merasai pengalaman pembelajaran sebenar.

ii) Faktor sosial dan budaya.

Melalui soal selidik faktor sosial dan budaya pula, pengkaji mendapati pelajar-pelajar bersikap positif terhadap pengajaran e-pembelajaran yang menyeronokkan berbanding kaedah pengajaran tradisional.  Pelajar perempuan  ketara lebih positif dalam menilai elemen-elemen yang terdapat dalam e-pembelajaran. Soal selidik ini juga mendapati kaedah e-pembelajaran membantu pelajar-pelajar menangani perasaan malu dan membantu mereka mengembangkan keyakinan diri.

Walaupun pelajar lelaki dan perempuan menunjukkan sikap positif terhadap e-pembelajaran dalam menangani masalah malu dan mengembangkan keyakinan diri, pelajar perempuan di dapati lebih positif menggunakan e-pembelajaran bagi menangani perasaan malu.

iii) Faktor teknikal.

Hasil soal selidik terhadap faktor teknikal mendapati keseluruhan pelajar merasa selesa dengan peralatan dan teknologi yang digunakan di dalam kursus kerana ianya membantu dalam pengalaman pembelajaran mereka.

 Kesimpulan.

Kajian yang telah dijalankan oleh pengkaji ini memberi input bahawa dalam masyarakat Kuwait terdapat halangan sosial kepada pelajar berlainan jantina untuk bertemu, berhubung dan berkolaborasi dalam pembelajaran.  Keadaan ini menyebabkan perasaan malu dan rendah diri menghalang pelajar-pelajar ini mendapat ruang pembelajaran yang lebih luas. Tetapi dengan adanya pembelajaran secara maya  melalui e-pembelajaran ini seperti penggunaan LMS dan teknologi komunikasi telah dapat mengurangkan batas sosial dan budaya tersebut. Penggunaan teknologi dan e-pembelajaran telah memberi peluang kepada pelajar-pelajar perempuan Kuwait berkolaborasi dengan tenaga pengajar dan rakan-rakan di luar kampus.

Pengkaji telah berjaya membuktikan bahawa persekitaran pembelajaran secara e-pembelajaran memberi kesan yang positif dalam menawarkan pengalaman pembelajaran yang lebih baik kepada pelajar. Walaubagaimanapun, tenaga pengajar merupakan kunci kepada keberkesanan e-pembelajaran tersebut kerana kajian ini mendapati peranan tenaga pengajar merupakan faktor utama di dalam pengalaman positif  pelajar.

Kaedah e-pembelajaran semakin mendapat tempat dalam sistem pendidikan di seluruh dunia. Ianya bukan sahaja popular di negara-negara maju malah sistem pendidikan di negara-negara membangun seperti Malaysia juga telah menuju ke arah pembelajaran secara maya ini terutama di peringkat pengajian tinggi.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: