Utama

Tugasan 3- Kajian Tinjauan

PENGGUNAAN INTERNET DALAM PENGAJARAN GURU MUZIK SEKOLAH RENDAH DAERAH RAUB, PAHANG

Mahmudah Binti Abu Bakar ( M20112001305)

Fakulti Pendidikan (Universiti Pendidikan Sultan Idris)

ABSTRAK

 Kajian ini bertujuan meninjau penggunaan internet dalam pengajaran guru muzik sekolah rendah di sekitar daerah Raub, Pahang.  Tumpuan kajian ini adalah untuk mengenalpasti kemahiran dan pengetahuan asas guru muzik terhadap penggunaan internet, masalah yang dihadapi semasa guru-guru muzik menggunakan internet dalam pengajaran dan pembelajaran serta faktor-faktor yang mendorong guru-guru muzik menggunakan internet. Kajian ini melibatkan 40 orang responden yang  terdiri daripada guru-guru opsyen muzik di 20 buah sekolah rendah di daerah Raub.  Data diperolehi menggunakan set soal selidik dan dianalisis menggunakan perisian  “Statistic Package for Social Science” versi 17.0. Dapatan kajian menunjukkan bahawa guru-guru muzik sekolah rendah mempunyai pengetahuan dan kemahiran asas menggunakan komputer dan internet dengan peratusan sebanyak 80.3%. Terdapat beberapa masalah yang  mempunyai peratusan yang tinggi (melebihi 60%) iaitu komputer di sekolah selalu tersangkut (hang), serangan virus dan kekurangan komputer di sekolah.  Terdapat empat faktor yang mendorong guru-guru muzik menggunakan internet daalam pengajaran dan pembelajaran dengan menunjukkan peratusan yang tinggi (melebihi 60%) iaitu sokongan yang diberikan oleh pihak sekolah dan rakan sekerja, untuk mendapatkan bahan yang berkualiti dan terkini, minat guru untuk melayari internet dan perluasan penggunaan internet dalam pengajaran dan pembelajaran oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

 

PENGENALAN

Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi yang semakin meluas telah membawa perubahan besar kepada cara manusia berfikir dan bekerja malah ianya juga telah merubah gaya hidup masyarakat di seluruh dunia. Komputer dijadikan alat dalam pelbagai bidang pekerjaan seperti perniagaan, kejuruteraan, pendidikan, ketenteraaan, kesihatan, muzik, sains dan sebagainya. Becker (1991) menyatakan bahawa empayar di masa depan ialah empayar pemikiran dan minda. Oleh itu, bagi mengembangkan pemikiran dan minda pelajar, pendekatan pengajaran dan pembelajaran berasaskan teknologi maklumat di sekolah perlu digubah kepada pemikiran penyelidikan, pengumpulan maklumat, menganalisis data ke arah menggalakkan kreativiti dan motovasi pelajar.

Menurut Mokhtar (2000) dalam Muhamad Azam (2010), komputer merupakan sebuah alat yang boleh memindahkan, memproses dan memanipulasikan maklumat sesuatu data secara serentak tetapi ianya tidak dapat memahami data dan mengikut segala arahan. Dalam era pembangunan pendidikan terkini, komputer dan internet sudah tidak dapat dipisahkan lagi dari dunia pendidikan di peringkat pendidikan rendah, menengah atau pun pengajian tinggi. Internet merupakan satu rangkaian antarabangsa yang merangkaikan beribu-ribu sistem komputer sama ada di rumah, pejabat, organisasi atau institusi dengan menggunakan bahasa komputer.  Setiap rangkaian yang disambung ke internet boleh dipecahkan kepada rangkaian yang lebih kecil.  Jaringan elektronik ini menghubungkan manusia dengan manusia  lain di seluruh dunia.

Ranjit dan Chua (2002) menyatakan bahawa internet merupakan salah satu komponen yang penting dalam era ledakan maklumat secara global  dan maklumat yang diperolehi adalah tanpa sempadan kerana internet menyediakan kemudahan mel elektronik, berita dan perkhidmatan maklumat pada kos yang rendah.  Abtar (2002) pula menyatakan bahawa internet merupakan satu rangkaian komputer yang tidak dimiliki khusus oleh sesiapa. Ia adalah satu perkhidmatan yang membenarkan sesiapa juga berkongsi maklumat, asalkan terdapat pertalian telekomunikasi.  Dato’ Seri Dr. Mahathir  (2001) dalam Norazlina (2008) menyatakan bahawa masyarakat yang menguasai maklumat akan menguasai dunia. Maklumat adalah aset strategik bagi pembangunan sesebuah negara.  Negara yang bermaklumat boleh mempengaruhi dunia dan mempunyai daya saing yang tinggi untuk mengatasi cabaran dan menguasai pasaran dunia.

Untuk menyahut cabaran ini, golongan pendidik khususnya guru-guru muzik yang dipertanggungjawabkan untuk memperkembangkan potensi individu pelajar dan nilai estetika melalui pendidikan muzik harus peka kepada keperluan ini dan seterusnya melengkapkan diri mereka dengan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi ini. Melalui penggunaan internet, guru muzik mampu mempelbagaikan proses pengajaran dan pembelajaran kerana pelbagai sumber maklumat dapat diperolehi dengan mudah dihujung jari.

PERNYATAAN  MASALAH

 Kurikulum Muzik Sekolah Rendah bermatlamat untuk membina potensi diri pelajar ke arah melahirkan insan kreatif yang menghayati dan menikmati muzik secara intelektual menerusi aktiviti muzikal ( Bahagian Perkembangan Kurikulum KPM, 2010).  Kemunculan penggunaan teknologi komputer dengan kemudahan internet memberi kesan yang mendalam kepada semua pelajar agar dapat menimbulkan seuasa pembelajaran yang lebih seronok, berkesan dan lebih bermakna kepada pelajar (Rozinah Jamaludin,2006). Memandangkan penggunaan  komputer dan internet adalah satu kemestian dalam sistem pendidikan negara ketika ini, guru muzik sebagai pemimpin insan kreatif  harus bersedia melengkapkan diri dengan segala kemahiran dan pengetahuan menggunakan internet supaya berkeyakinan menguruskan internet di dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Walau bagaimanapun, penyediaan bahan rujukan dan pengajaran adalah bergantung kepada kemampuan guru-guru muzik dalam menguasai kemahiran mengendalikan komputer khususnya dalam pencarian bahan menerusi internet. Menurut Musa (2001), cara yang paling baik untuk memanfaatkan keupayaan komputer adalah dengan menjadikannya alat untuk membantu kerja-kerja kita supaya menjadi lebih mudah dan berkesan. Latihan atau kursus menggunakan komputer dan internet mungkin diperlukan oleh guru muzik supaya komputer dan internet dapat digunakan dengan sepenuhnya bagi tujuan pengajaran.  Guru muzik yang mempunyai pengetahuan komputer yang baik akan dapat menggunakan kemudahan komputer terutama jaringan internet untuk meneroka maklumat-maklumat yang berkaitan dengan mata pelajaran muzik. Kajian yang dilakukan oleh  Zahidi dan Rosli (2001) ke atas guru-guru di Kelantan mendapati 33.6 peratus bersetuju faktor kekurangan pengetahuan dan kemahiran tentang penggunaan teknologi juga menyumbang kegagalan perlaksanaannya dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Bagi menjayakan pengajaran muzik menggunakan komputer dan internet di sekolah, kelengkapan jaringan komputer dan internet di bilik muzik, bilik darjah dan di bilik guru mestilah bersesuaian dan mencukupi.  Sebarang masalah yang timbul akan membantutkan penggunaan  komputer dan internet bagi tujuan pengajaran guru. Memandangkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi menjadi agenda utama dalam sistem pendidikan negara masa kini, pengkaji terpanggil untuk menjalankan kajian mengenai tahap penguasaan dan pengetahuan yang dimiliki oleh guru-guru muzik di sekitar daerah Raub memandangkan belum ada lagi kajian sebegini dijalankan ke atas guru-guru muzik.  Selain daripada itu pengkaji juga ingin mengetahui tentang masalah-masalah yang dihadapi oleh guru-guru muzik di daerah Raub semasa menggunakan komputer dan internet dalam  proses pengajaran dan pembelajaran.

 OBJEKTIF KAJIAN.

Tujuan utama kajian ini adalah untuk meninjau bagaimana internet digunakan oleh guru-guru muzik di sekolah rendah dalam konteks pengajaran dan pembelajaran pendidikan muzik secara berkesan.  Di antara objektif kajian ini adalah untuk:

i)Mengenalpasti pengetahuan asas guru-guru muzik terhadap penggunaan internet.

ii)Mengenalpasti kemahiran asas guru-guru muzik terhadap penggunaan internet

iii)Mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh guru muzik semasa menggunakan internet bagi tujuan proses pengajaran dan pembelajaran.

iv)Mengenalpasti faktor-faktor yang mendorong guru-guru muzik menggunakan interent bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran.

KEPENTINGAN KAJIAN

Pengajaran dan pembelajaran berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi menjadi semakin penting dalam sistem pendidikan di Malaysia masa kini. Oleh itu, pengetahuan dan kemahiran asas terhadap komputer dan internet merupakan keperluan  yang perlu dimiliki oleh setiap pendidik yang ingin berdaya saing di peringkat global.

Kepentingan kepada sekolah : Hasil kajian ini  merupakan satu rujukan kepada sekolah yang telah menyediakan kemudahan komputer kepada guru-guru di sekolah agar ianya digunakan secara optimum dalam pengajaran dan pembelajaran. Kajian ini juga akan membantu pihak sekolah meningkatkan tahap pengurusan dan pentadbiran bagi penggunaan komputer dan internet secara menyeluruh di peringkat sekolah.

Kepentingan kepada jabatan pelajaran dan kementerian pelajaran: Kajian ini diharap dapat memberi maklumat dan idea baru kepada jabatan pelajaran dan kementerian pelajaran dalam memantapkan lagi sistem pendidikan berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi yang sedia ada.

Hasil kajian ini juga di harap akan menjadi asas kepada kajian-kajian berikutnya bagi memastikan perkara-perkara yang menjadi penghalang dapat di atasi dan kekurangan dapat dipertingkatkan bagi memenuhi hasrat falasah Pendidikan Kebangsaan bagi melahirkan insan yang berketrampilan dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sisoal yang mampu bersaing di peringkat global dalam menuju Wawasan 2020.

METODOLOGI

 Kajian ini adalah kajian ilmiah yang melibatkan kajian tinjauan berbentuk deskriptif atau perihal. Ianya bertujuan untuk mengumpul maklumat terperinci dan mengkaji tentang kecenderungan penggunaan internet di kalangan guru-guru muzik di sekolah rendah di daerah Raub, Pahang.  Internet yang menjadi alat teknologi komunikasi yang canggih mempunyai berbagi-bagai fungsi apabila digunakan dalam pendidikan. Ianya  harus digunakan secara optimum sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran di dalam semua mata pelajaran di sekolah rendah termasuklah mata pelajaran pendidikan muzik.

Satu set soal selidik akan digunakan untuk mendapatkan maklumbalas mengenai kecenderungan, pengalaman, masalah dan pandangan guru-guru muzik mengenai penggunaan internet dalam aktiviti harian di sekolah.  Soal selidik yang digunakan telah ditadbir selama dua minggu secara online di mana pengkaji telah menghantar soal selidik kepada empat puluh orang responden melalui e-mail peribadi guru-guru muzik di sekolah-sekolah yang telah dipilih. Responden diminta menjawab semua soalan kemudian menghantarkan semula soal selidik tersebut ke alamat e-mail pengkaji. Penggunaan soal selidik begini dapat menjimatkan masa dan perbelanjaan semasa mengumpul data.  Pengumpulan data dapat memberi gambaran yang sebenar tentang persoalan-persoalan yang hendak dikaji yang meliputi aspek-aspek kemahiran asas dan pengetahuan penggunaan interent dalam pendidikan muzik, faktor-faktor yang mendorong kepada penggunaan internet dan masalah yang dihadapi oleh guru-guru muzik semasa menggunakan internet.

SAMPEL KAJIAN

Sampel kajian melibatkan seramai 40 orang  guru-guru opsyen muzik yang mengajar mata pelajaran pendidikan muzik di 20 buah sekolah harian di daerah Raub, Pahang. Pemilihan sampel  ini adalah bertujuan mengenalpasti pengetahuan dan kemahiran asas guru-guru muzik serta kecenderungan mereka menggunakan internet sebagai bahan pengajaran pembelajaran semasa mengajar muzik disamping mengenalpasti masalah yang mereka hadapi semasa menggunakan komputer dan internet di sekolah.

INSTRUMEN KAJIAN

 Instrumen yang digunakan dalam kajian ini adalah berbentuk soal selidik. Menurut  Mohd Majid Konting (1990), penggunaan soal selidik dapat meningkatkan ketepatan dan kebenaran yang diberikan oleh sampel kerana ia tidak dipengaruhi oleh penyelidik.  Selain daripada itu kaedah ini menjimatkan kos, lebih mudah mendapat kerjasama responden dan dapat menghasilkan item-item yang konsisten serta boleh dipercayai. Soal selidik ini dibahagikan kepada empat (4) bahagian iaitu:

Bahagian A.

Bahagian ini mengandungi enam soalan berkaitan maklumat diri responden seperti jantina, umur, pengalaman mengajar, bidang pengkhususan (opsyen) ,kelulusan dan bilangan waktu mengajar mata pelajaran muzik.

Bahagian B.

Bahagian ini memuatkan 5 item pernyataan tentang pengetahuan dan kemahiran asas responden terhadap penggunaan internet dalam pengajaran muzik serta perisian komputer yang digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran muzik.

Bahagian C.

10 item soalan telah disediakan dalam bahagian ini bagi mengukur faktor-faktor yang mendorong guru-guru muzik menggunakan internet dalam pengajaran dan pembelajaran muzik seperti kemudahan , masa , sokongan rakan dan pentadbir, minat dan mengikut dasar kerajaan.

Bahagian D.

Bahagian ini mengandungi 5 item soalan yang mengukur masalah yang dihadapi oleh oleh guru muzik semasa melayari internet.

Bahagian B, C dan D akan diukur berdasarkan skala lima mata yang mempunyai lima tahap pemarkahan seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 1. Responden akan menjawab soalan-soalan yang dikemukakan dengan menandakan ( / ) salah satu pilihan jawapan yang diberi.

Jadual 1 Skala lima mata

Skala Gerakbalas Iktem
1 Sangat Tidak Setuju (STS)
2 Tidak Setuju (TS)
3 Tidak Pasti (TP)
4 Setuju (S)
5 Sangat Setuju (SS)

DAPATAN KAJ1AN

 Analisi Data Bahagian B:Pengetahuan dan kemahiran asas menggunakan komputer dan internet dalam pengajaran dan pembelajaran muzik.

 Terdapat  5  item yang disediakan bagi mengukur pengetahuan dan kemahiran asas menggunakan komputer dan internet dalam pengajaran dan pembelajaran muzik. Analisis menunjukkan keseluruhan peratusan yang lebih besar memilih “setuju” bagi ke semua item yang disenaraikan.  Berikut adalah urutan item-item mengikut perolehan peratus bermula dengan peratusan tinggi hingga rendah.

i-Item 1 “ Saya tahu menggunakan  perkakasan komputer seperti monitor, papan kekunci, tetikus, pencetak dan pengimbas (scanner)” memperolehi taburan peratus “Setuju” seramai 35 orang (87.5%) dan seramai 3 orang (7.5%) memilih “Sangat Setuju” berbanding  2 orang (5.0 %)“Tidak Pasti”, manakala tiada yang menjawab “Tidak Setuju” dan “Sangat Tidak Setuju”.

ii- Item 2 “ Saya tahu menggunakan enjin pencarian untuk melayari internet” memperolehi taburan peratus “Setuju” seramai 30 orang (75.0 %) dan seramai 5 orang (12.5%) memilih “Sangat Setuju” berbanding  3 orang (7.5 %) “Tidak Pasti”, dan 2 orang (5.0%) menjawab “Tidak Setuju” tiada responden menjawab  “Sangat Tidak Setuju”.

iii-Item 3 “ Saya tahu nama laman web yang sesuai  dengan pendidikan muzik” memperolehi taburan peratus “Setuju” seramai 27 orang (67.5 %) dan seramai 10 orang (25.0 %) “Tidak Pasti” berbanding 3 orang (7.5%) memilih “Sangat Setuju” dan 2 orang (5.0%) menjawab “Tidak Setuju” manakala 1 orang (2.5%) menjawab “Sangat Tidak Setuju”.

iv-Item 4 “Saya tahu menggunakan aplikasi muat naik (upload) dan muat turun (download)” memperolehi taburan peratus “Setuju” seramai 20 orang (50.0 %) berbanding 10 orang (25.0%) memilih “Sangat Setuju” dan seramai 8 orang  (20.0 %) “Tidak Pasti” manakala 1 orang (2.5 %) menjawab “Tidak Setuju” dan 1 orang (2.5%) menjawab “Sangat Tidak Setuju”.

v-Item 5 “Saya tahu kegunaan anti virus kepada komputer” memperolehi taburan peratus “Setuju” seramai 16 orang (40.0 %) berbanding 12 orang (30.0%) memilih “Sangat Setuju”dan seramai 10 orang  (25.0 %) “Tidak Pasti” manakala 1 orang (2.5 %) menjawab “Tidak Setuju” dan 1 orang (2.5%) menjawab “Sangat Tidak Setuju”.

Hasil dari analisa purata peratusan keseluruhan bagi item-item mengukur pengetahuan dan kemahiran asas menggunakan komputer dan internet dalam pengajaran dan pembelajaran muzik di dapati purata peratusan pilihan “Setuju” adalah 64.0 %,  “Sangat Setuju” dan  “Tidak Pasti” 16.5 %  sama–sama mendapat sebanyak 16.5 %, “Tidak Setuju” sebanyak 3.0 %  , dan “Sangat Tidak Setuju” sebanyak 1.5 %.  Daripada purata peratusan keseluruhan di atas di dapati skala “Setuju” mempunyai peratusan yang besar. Antara peratusan setuju tertinggi ialah pada item Item 1 “ Saya tahu menggunakan  perkakasan komputer seperti monitor, papan kekunci, tetikus, pencetak dan pengimbas (scanner)”.

Analisis Data Bahagian C: faktor-faktor yang mendorong guru muzik menggunakan komputer dan internet sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran.

 Terdapat 10 pernyataan dalam soal selidik bagi mengenalpasti faktor-faktor yang mendorong guru-guru menggunakan komputer dan internet.  Analisis menunjukkan keseluruhan peratusan yang lebih besar memilih “setuju” bagi ke semua item yang disenaraikan.  Berikut adalah urutan item-item mengikut perolehan peratus bermula dengan peratusan tinggi hingga rendah.

i) Item 6  “Pihak sekolah menyediakan kemudahan komputer dan internet untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran” memperolehi taburan peratus “Setuju” seramai 20 orang (50%) dan seramai 12 orang (30%) memilih “Sangat Setuju” berbanding 5 orang (12.5%) “Tidak Pasti” manakala 3 orang (7.5%) mewakili “Tidak Setuju” dan 2 orang (5.0%)  “Sangat Tidak Setuju”.

ii)Item 7 “Saya akan mendapatkan seberapa banyak bahan pengajaran muzik untuk membantu saya dalam menyediakan isi pelajaran” mendapat taburan peratus “Setuju” seramai 18 orang (45%) dan seramai 10 orang (25.0%) memilih “Tidak Pasti”.  Manakala pilihan “Sangat Setuju” seramai 7 orang (17.5%), “Tidak Setuju” dan “Sangat Tidak Setuju” masing-masing mewakili 3 orang (7.5%) dan 2 orang      ( 5.0%)

iii) Item 8 “Di luar waktu sekolah, saya melayari internet di rumah bagi tujuan mencari bahan pengajaran dan pembelajaran” dengan taburan peratus “Setuju” seramai 15 orang (37.5%) dan seramai 12 orang (30.0%) memilih “Tidak Pasti” berbanding pilihan “Sangat Setuju” seramai 8 orang (20.0%), “Tidak Setuju” dan “Sangat Tidak Setuju” masing-masing mewakili 3 orang (7.5%) dan 2 orang ( 5.0%).

iv) Item 9  “Saya hanya mendapatkan maklumat terkini sahaja ketika melayari internet bagi membantu menambah rujukan saya semasa mengajar” memperolehi taburan peratusan bagi “Setuju” seramai 20 orang (50%) dan seramai 12 orang (30%) memilih “Sangat Setuju” berbanding 5 orang (12.5%) “Tidak Pasti” manakala 3 orang (7.5%) mewakili “Tidak Setuju” dan 2 orang (5.0%)  “Sangat Tidak Setuju”.

v)Item 10   “Saya akan mendapatkan maklumat yang berkaitan dengan topik-topik pengajaran saya melalui internet” memperolehi taburan peratus bagi  “Setuju” seramai 15 orang (37.5%) dan seramai 9 orang (22.5%) memilih “Tidak Pasti” berbanding 5 orang (12.5%) “Sangat Setuju” manakala 1 orang (2.5%) mewakili “Tidak Setuju” dan 1 orang (2.5%)  “Sangat Tidak Setuju”.

vi)Item 11 “ Menerusi internet, saya dapat memperolehi audio yang jelas, imej yang cantik dan terkini bagi menarik minat pelajar sekiranya saya menggunakannya dalam pengajaran dan pembelajaran” dengan taburan peratus “Setuju” seramai 25 orang (62.5%) dan seramai 5 orang (12.5%) memilih “Sangat Setuju” berbanding 8 orang (20.0%) “Tidak Pasti” manakala 1 orang (2.5%) mewakili “Tidak Setuju” dan 1 orang (2.5%)  “Sangat Tidak Setuju”.

vii)Item 12 “Saya menggunakan internet sebagai sumber kerana ianya sedang diperluaskan oleh pihak kementerian” memperoleh taburan peratus bagi “Setuju” seramai 18 orang (45.0%) dan seramai 10 orang (25.5%) memilih “Tidak Pasti” berbanding 8 orang (20.0%) “Sangat Setuju” manakala “Tidak Setuju” 2 orang (5.0%) dan “Sangat Tidak Setuju” 2 orang (5.0%).

viii)Item 13 “Sememangnya saya berminat melayari internet untuk mencari bahan” memperoleh taburan peratus bagi “Setuju” seramai 22 orang (55.0%) dan seramai 10 orang (25.0%) memilih “Sangat Setuju” berbanding 4 orang (10.0%) “Tidak Pasti” manakala 3 orang (7.5%) mewakili “Tidak Setuju” dan 1 orang (2.5%)  “Sangat Tidak Setuju”.

ix)Item 14 “Rakan-rakan di sekolah turut memberi galakan kepada saya dalam menggunakan internet dalam mencari bahan pengajaran dan pembelajaran” memperoleh taburan peratus “Setuju” seramai 23 orang (57.5%) dan seramai 7 orang (17.5%) memilih “Tidak Pasti” berbanding 5 orang (12.5.0%) “Sangat Setuju” manakala “Tidak Setuju” dan “Sangat Tidak Setuju” masing-masing diwakili 2 orang (5.0%) dan 3 orang (7.5%).

x)Item 15 “ Pihak pentadbiran sekolah saya menyokong penggunaan internet sebagai salah satu cabang memperolehi maklumat” dengan taburan peratus bagi “Setuju” seramai 22 orang (55.0%) dan seramai 10 orang (25.0%) memilih “Sangat Setuju” berbanding 5 orang (12.5 %) “Tidak Pasti” manakala 2 orang (5.0%) mewakili “Tidak Setuju” dan 1 orang (2.5%)  mewakili “Sangat Tidak Setuju”.

Hasil dari analisa purata peratusan keseluruhan bagi item-item faktor yang mendorong guru-guru muzik menggunakan internet di dapati purata peratusan pilihan “Setuju” adalah 55.75 %,  “Sangat Setuju” sebanyak 19.0 %, “Tidak Pasti” sebanyak 17.5 %, “Tidak Setuju” sebanyak 5.75 %  , dan “Sangat Tidak Setuju” sebanyak 4.25 %.  Daripada purata peratusan keseluruhan di atas didapati skala “Setuju” mempunyai peratusan yang besar. Antara peratusan setuju tertinggi ialah pada item 11 iaitu “ Menerusi internet, saya dapat memperolehi audio yang jelas, imej yang cantik dan terkini bagi menarik minat pelajar sekiranya saya menggunakannya dalam pengajaran dan pembelajaran”.

 

Analisis Data Bahagian D: Masalah-masalah yang dihadapi oleh guru muzik semasa menggunakan komputer dan interet di sekolah.

Bahagian ini menganilis data mengenai masalah yang dihadapi oleh oleh guru muzik semasa menggunakan komputer dan internet. Antara item yang dikaji seperti kemudahan, kemahiran pengendalian komputer, peralatan komputer, masalah teknikal, dan serangan virus pada komputer.

i-Item 16 “Komputer yang ada agak perlahan” dengan taburan peratus bagi “Setuju” seramai 15 orang (37.5%) dan seramai 10 orang (25.0%) juga memilih “Tidak Setuju” berbanding 8 orang (20.0 %) “Tidak Pasti” manakala 5 orang (12.5%) “Sangat Setuju” dan 2 orang (5.0%)  “Sangat Tidak Setuju”.

ii-Item 17 “Sesetengah ikon dan arahan pada komputer kurang difahami” dengan taburan peratus bagi 15 orang (37.5%)  memilih “Tidak Setuju” berbanding 11 orang (27.5%) memilih “Setuju” manakala seramai 5 orang (12.5%) “Sangat Setuju” manakala 3 orang (7.5 %) “Tidak Pasti” dan 3 orang (7.5%) juga memilih “Sangat Tidak Setuju”.

iii-Item 18 “Komputer di sekolah selalu tersangkut (hang)” dengan taburan peratus bagi “Setuju” 16 orang (40.0%) berbanding “Sangat Setuju” 10 orang (25.0%)  manakala 10 orang (25.0 %) memilih “Tidak Pasti”, 3 orang (7.5 %) “Tidak Setuju” dan 1 orang (2.5%) memilih “Sangat Tidak Setuju”.

iv- Item 19 “Serangan virus menyebabkan komputer gagal berfungsi” dengan taburan peratus bagi “Setuju” 28 orang (70.0%) berbanding “Sangat Setuju” 5 orang (12.5%)  manakala 3 orang (7.5 %) memilih “Tidak Pasti”, manakala 3 orang      (2.5 %) memilih “Tidak Setuju” dan 1 orang (2.5%) “Sangat Tidak Setuju”.

v-Item 20 “Komputer di sekolah tidak mencukupi” dengan taburan peratus bagi “Setuju”  35 orang (87.5 %) berbanding “Sangat Setuju” 3 orang (7.5%)  manakala  1 orang (2.5 %) memilih “Tidak Pasti” dan 1 orang (2.5 %) memilih “Tidak Setuju”  manakala tiada sorang pun memilih “Sangat Tidak Setuju”.

Hasil dari analisa purata peratusan keseluruhan bagi item-item masalah yang dihadapi oleh oleh guru muzik semasa menggunakan komputer dan internet di dapati purata peratusan pilihan “Setuju” adalah 52.5 %,  “Sangat Setuju” sebanyak 16.5 %, “Tidak Pasti” sebanyak 12.5 %, “Tidak Setuju” sebanyak 16.0 %  , dan “Sangat Tidak Setuju” sebanyak 2.5 %.  Daripada purata peratusan keseluruhan di atas didapati skala “Setuju” mempunyai peratusan yang besar.  Antara peratusan setuju tertinggi ialah pada item 20  iaitu “Komputer di sekolah tidak mencukupi”.

PERBINCANGAN

Keputusan dapatan kajian mendapati purata peratusan sebanyak 80.5 peratus daripada 40 orang guru muzik menguasai pengetahuan dan kemahiran asas menggunakan komputer dan internet. Ini memberi gambaran bahawa guru-guru muzik tidak kurang hebatnya berbanding guru-guru mata pelajaran lain yang mempunyai asas dalam penggunaan internet seperti hasil kajian Norazlina (2008) yang membuat kajian terhadap penggunaan internet ke atas 132 orang guru-guru daripada empat buah sekolah rendah di sekitar Johor Bahru mendapati 83.5 peratus guru menguasai pengetahuan asas terhadap penggunaan internet. Hasil kajian Md. Musa (2003) dalam Norazlina (2008) mendapati guru-guru berminat mendekati dunia internet setelah memiliki pengetahuan asas yang diperolehi daripada usaha mereka dan kursus yang diikuti sepanjang perkhidmatan.  Ini menunjukkan guru-guru muzik sudah bersedia menggunakan internet di dalam proses pengajaran dan pembelajaran.  Perkembangan teknologi  yang pesat juga telah mewujudkan persekitaran pembelajaran baru yang lebih fleksibel dari segi masa, tempat, kaedah dan bahan pembelajaran disamping mewujudkan lebih peluang untuk proses kolaborasi yang lebih meluas dalam proses pendidikan.

Walaupun hasil kajian ini mendapati lebih 80 peratus guru muzik menguasai pengetahuan asas dan kemahiran asas menggunakan internet dan 74.7 peratus guru muzik menyatakan sikap positif terhadap penggunaan internet di dalam pengajaran dan pembelajaran, namun terdapat faktor-faktor yang menjadi penghalang pelaksanaannya seperti masalah kekurangan komputer di sekolah kerana purata dapatan mendapati 95 peratus guru menyokong pernyataan ini.  Selain daripada itu masalah serangan virus terhadap komputer juga menjejaskan proses pengajaran.  Hal ini berkemungkinan terjadi kerana tidak ada tenaga mahir yang mampu menyelesaikan masalah tersebut di sekolah. Abdul karim (1999) dalam  Norazlina (2008) berpendapat terdapat beberapa faktor yang menghalang guru-guru daripada menjalankan tugas dengan sempurna misalnya sikap masyarakat dan kekurangan kemudahan, khususnya kemudahan di sekolah.  Antara kemudahan yang dimaksudkan ialah komputer yang boleh mengakses internet adalah mencukupi untuk guru dan ruang bilik yang sesuai dan selesa.

Secara amnya, dapatlah dinyatakan bahawa dapatan menunjukkan bahawa guru-guru muzik di daerah Raub berada di tahap yang tinggi dalam menggunakan komputer dan internet dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ini dapat ditunjukkan dengan jelas apabila guru-guru berminat melayari internet dalam mencari bahan pengajaran dan pembelajaran.  Pengkaji berpendapat bahawa guru-guru muzik di daerah Raub telah memanfaatkan sepenuhnya kemudahan komputer dan internet di sekolah selaras dengan hasrat dan seruan kerajaan untuk menjadikan pendidikan di Malaysia bertaraf dunia.

RUMUSAN

Pada keseluruhannya, semua guru muzik di daerah Raub, Pahang mempunyai kemahiran dan pengetahuan asas terhadap penggunaan internet dan mampu mengaplikasikannya di dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Dengan adanya sokongan  yang kuat daripada pihak pentadbir dan rakan sekerja akan meningkatkan lagi rasa minat terhadap penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi ini.  Selain daripada itu, sekiranya perkhidmatan atau kemudahan internet yang disediakan adalah baik, maka penggunaan internet juga adalah tinggi.  Semoga dapatan kajian ini akan dapat membantu pihak-pihak yang berkenaan memperbaiki segala kelemahan yang ada untuk merealisasikan impian pendidikan bertaraf dunia dan mampu melahirkan pelajar yang mampu berdaya saing di peringkat global.

RUJUKAN

Abtar Kaur (2001). Multimedia dan internet dalam peningkatan pemikir Pelajar.http://mdc.um.edu.my:88/abtar/lamaneeo.inf,Universiti Malaya

Becker,H.J(1991).How Computer are used in United State School. Basic data from the 1989 I-E-A.Computer in education survey.Journal st Educational Computing Research.Vol 7(4),385-406

Kementerian Pelajaran Malaysia (2010).Dokumen Standard Kurikulum Dunia Muzik Tahun 1,Putra Jaya:Bahagian Pembangunan Kurikulum.

Mohd Majid Konting (1990).Kaedah penyelidikan pendidikan. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhamad Azam Jaafar (2010).Penggunaan komputer dan internet dalam pengajaran dan pembelajaran di kalangan guru sekolah menengah di daerah Pasir Mas, Kelantan:Tesis Ijazah Sarjana Muda Pendidikan tidak diterbitkan,Skudai: Universiti  Teknologi Malaysia

Musa Muhamad (2001).Teknologi: Gunakan kemudahan sebaik mungkin.Utusan Malaysia 28/6/2001

Norazlina Adam (2008). Penggunaan internet dalam kalangan guru-guru sekolah rendah di sekitar Johor Bahru, Johor: Tesis Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer serta Pendidikan yang tidak diterbitkan,Skudai:Universiti  Teknologi Malaysia

Ranjit Kaur & Cua lay Siok (2002). Tinjauan penggunaan internet di kalangan guru pelatih Institut Bahasa Melayu Malaysia (IBMM) ke arah pebelajaran elektronik. Dalam Seminar teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam Pendidikan, Kuala Lumpur:MPBL

Rozinah Jamaludin (2006).Teknologi pengajaran, Kuala Lumpur:Utusan Publication & Distributors

.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: